Duterte Menang Besar Dalam Pilihan Raya Filipina
MANILA - FILIPINA. Datuk Bandar Davao City, Rodrigo Duterte, bakal menjadi presiden baharu Filipina selepas pesaing terdekatnya Mar Roxas mengaku kalah dalam pilihan raya negara itu, semalam.
"Adalah jelas bahawa Duterte adalah presiden akan datang untuk Republik Filipina. Marilah kita menghormati dan menerima keputusan rakyat," menurut Roxas.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Duterte, 71, meraih hampir 39 peratus undi atau 15.31 juta, diikuti Roxas dengan 23.32 peratus undi atau 9.22 juta.
Menurut jurucakap Duterte, bakal pemimpin itu akan berusaha menulis semula Perlembagaan dan menukar kepada sistem kerajaan persekutuan.
"Rancangan tersebut akan memerlukan konsensus kebangsaan yang luas dan ia akan dimulakan dengan meminta Kongres untuk mengadakan konvensyen Perlembagaan," katanya.
Ketika kempen pilihan raya, Duterte yang juga digelar Punisher, kerana pendirian tegas beliau dalam memerangi jenayah berjanji untuk membuat perubahan daripada sistem berpusat kepada kerajaan persekutuan, iaitu asas digunakan di beberapa wilayah di Filipina. - Agensi
Post a Comment