Qu Puteh Rayani Air Bakal Ambil Alih Rayani Air



PETALING JAYA - Selepas menaja The Red Warriors, Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedang mempertimbangkan untuk membeli saham Rayani Air yang dipalit masalah kewangan.

Jutawan kosmetik itu yang lebih dikenali sebagai Dr Vida memberitahu Utusan Malaysia beliau sedang menilai saham Rayani Air dan akan menemui pemiliknya bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan syarikat itu.

Jelasnya, faktor utama beliau tertarik kepada Rayani Air disebabkan konsep patuh syariah yang diamalkan syarikat berkenaan, tambahan pula industri penerbangan mempunyai prospek besar dan beliau bercadang mengembangkan perniagaan dalam bidang lain.

Anak jati Kelantan itu berkata, ia adalah satu kerugian besar jika syarikat-syarikat patuh syariah yang pertama di negara ini ditutup, memandangkan Rayani Air turut menawarkan penerbangan ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Ramai rakyat Kelantan bekerja di Lembah Klang dan bila Rayani Air ditutup mereka kurang satu lagi pilihan untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan.

"Sekiranya kena dengan harga, apa salahnya saya mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk membeli saham-saham Rayani Air," katanya kepada akhbar itu semalam.

Operasi penerbangan Rayani Air digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lalu kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sepanjang tempoh penggantungan sementara itu, DCA akan melakukan audit pengurusan serta keselamatan ke atas Rayani Air.

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia melepaskan 51 peratus pegangan sahamnya kepada pelabur baru dengan syarat syarikat itu perlu kekal patuh syariah walaupun selepas bertukar tangan.

Ravi berkata, kekurangan dana antara faktor utama Rayani Air dilanda masalah sehingga berlaku mogok oleh juruterbang dan kakitangan yang mengancam akan menyaman Rayani Air jika tidak membayar tunggakan gaji mereka. - FMT

No comments

Powered by Blogger.