Perkataan Baharu Dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka
PERKATAAN 'cicipan', 'merarau', dan 'gabi' bukan penamaan baharu yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebaliknya menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, M Azahari Edin, perkataan-perkataan itu telah lama digunakan malah sejak tahun 90-an sudah terdapat dalam kamus DBP.
Pada masa sama, DBP menafikan pihaknya menyebarkan slaid gambar yang menunjukkan penamaan baharu itu, sehingga ia menjadi viral dan menimbulkan persoalan ramai.
"Kami pun tak tahu dari mana punca (gambar) yang tersebar sebab kita memang tak keluarkan slaid berbentuk begitu.
"Dari segi slaid itu, tajuknya salah. Ia sepatutnya bukan penamaan baharu tetapi tambahan atau perkataan pilihan.
"Seperti 'gabi' yang merupakan perkataan suku kaum di Sarawak, 'kudapan' popular di negeri utara tanah air.
"Tidak jadi masalah kita mahu guna atau tidak perkataan tersebut, ia sebagai variasi perkataan kepada pengguna," katanya dalam laporan yang disiaran Malaysiakini.
Tambahnya, perkara itu menjadi viral dipercayai kerana perkembangan media sosial pada masa sekarang.
Gambar slaid yang tersebar itu menunjukkan perkataan didakwa penamaan baharu iaitu minum pagi menjadi 'sarapan', minum rehat pagi (kudapan), makan tengah hari (merarau), minum petang (cicipan) dan minum malam (gabi).
Perkara ini mula heboh diperkatakan di laman sosial, sekali gus mengundang pelbagai komen dan reaksi lucu daripada netizen.
"Oh, DBP. Mari kita pergi bergabi? "Komen Erna Mahyuni dengan niat berlawak.
"Tak sempat merarau. Cicipan pun entah sempat entah tidak. Sibuk gila. Entah-entah time gabi baru sempat makan. Hm, "tulis Pura.
Melihat isu yang timbul ini, jelaslah rakyat Malaysia masih belum cukup mendalami dan kaya pengetahuan tentang perkataan dalam Bahasa Melayu. - MYNEWSHUB.CC
Post a Comment