Boleh Makan Ke Vitamin Yang Telah Luput?

Boleh Makan Ke Vitamin Yang Telah Luput?|Pengambilan vitamin tambahan dapat membantu untuk menambah baik keadaan badan dan menyokong keperluan metabolisma. Setiap orang pasti mempunyai koleksi vitamin-vitamin mereka yang tersendiri demi mencapai kesan kesihatan atau kecantikan yang diinginkan. Namun, pernahkah anda terfikir sama ada vitamin yang telah luput masih selamat untuk dimakan atau tidak?

Boleh Makan Ke Vitamin Yang Telah Luput?

Vitamin boleh expired ke?

Ya, dan juga tidak. Ini kerana luputnya sesuatu vitamin itu tidak sama dengan luputnya makanan yang kita makan. Secara tradisionalnya, makanan yang telah luput akan menjadi tidak selamat untuk dimakan. Namun, vitamin yang telah luput pula tidak akan mengandungi bahan toksik atau beracun, sebaliknya, ia akan menjadi kurang berkesan atau efektif dalam menghasilkan kesan yang sepatutnya. Ini kerana bahan ataupun ramuan yang terdapat dalam produk vitamin tambahan akan beransur-ansur terurai, menjadikannya semakin lama semakin tidak efektif.

Menurut Erin Stokes, Pengarah Perubatan di syarikat MegaFood, terma ‘tarikh luput’ yang disertakan pada botol produk vitamin bukan bermaksud ia akan menjadi toksik atau beracun selepas tarikh tersebut. Sebaliknya, ia menjanjikan produk tersebut mengandungi kesemua kandungan yang dinyatakan, dalam dos yang sama seperti yang tertera pada label produk.

Secara amnya, tempoh tahan suatu produk vitamin itu adalah selama 2 tahun. Semestinya, tempoh ini adalah berbeza-beza mengikut jenis vitamin dan keadaan penyimpanan. Ramai yang mungkin cenderung untuk menyimpan vitamin mereka di dapur ataupun di dalam bilik air kerana mudah untuk diakses dan diingati. Namun, kawasan tersebut adalah lembap dan juga boleh mengumpul haba yang lebih tinggi berbanding kawasan rumah yang lain. Kaedah penyimpanan terbaik untuk vitamin adalah di tempat yang sejuk dan kering.

Oleh sebab sesetengah produk tidak stabil pada suhu bilik, penyimpanan dalam peti sejuk dapat memanjangkan hayat sesetengah produk vitamin itu. Contoh vitamin yang dimaksudkan adalah:

◾Minyak ikan
◾Vitamin E
◾Vitamin D
◾Probiotik

Jadi, selamatkah pengambilan vitamin yang telah luput?

Sangat kecil kebarangkalian bahawa pengambilan vitamin yang telah luput akan menyebabkan mudarat kepada tubuh badan anda. Sehingga kini, belum ada kes yang telah dilaporkan di mana seseorang itu mendapat penyakit ataupun meninggal dunia akibat pengambilan vitamin yang telah tamat tempoh. Namun, bergantung kepada kaedah penyimpanan dan juga pendedahan yang berlaku, terdapat kemungkinan bahawa suatu vitamin itu boleh jadi berbahaya. Sebagai contoh, jika suatu vitamin itu dibiarkan terbuka atau tidak ditutup dengan baik, ia boleh terdedah kepada kelembapan, bahan pencemaran dan juga kulat. Dengan masa, vitamin tersebut boleh menjadi tidak selamat dan berbahaya untuk dimakan.

Jenis vitamin dan makanan tambahan yang anda ambil juga adalah penting apabila anda menyemak tarikh luput. Terdapat makanan tambahan yang mengandungi bakteria seperti produk probiotik. Terdapat juga makanan tambahan atau vitamin dalam bentuk cecair. Menurut Cynthia Marie LaBonte, Ahli Kimia daripada Newport Herbal Formulas, jika telah mencapai tarikh luput, adalah lebih baik untuk anda buang sahaja vitamin atau makanan tambahan yang perlu disimpan dalam peti sejuk, dalam bentuk cecair atau yang mengandungi bakteria seperti probiotik.

Walaupun ia tidak membahayakan kesihatan anda, pengambilan vitamin yang telah tamat tempoh adalah sesuatu yang membuang masa. Ini kerana anda mengambil sesuatu yang tidak lagi efektif atau kurang efektif. Untuk itu, walaupun secara amnya pengambilan vitamin yang telah luput tidak berbahaya, adalah lebih baik untuk anda tidak mengambilnya.

Tuntasnya, vitamin yang paling mahal yang boleh anda ambil adalah vitamin yang telah tamat tempoh. Ini kerana untuk harga yang sama (ketika dibeli), anda mengambil sesuatu yang tidak lagi efektif atau mampu untuk menghasilkan kesan yang sepatutnya. Oleh itu, cadangan terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah untuk anda beli vitamin dalam kuantiti yang sedikit dan tidak membeli secara pukal untuk kegunaan sendiri.

Credit Artikel: Hello Doktor

2 comments:

  1. selalu jadi ni. beli pastu tak makan. lepas tu buang je sebab tau active ingredient dah takde

    ReplyDelete

Powered by Blogger.