Dego Ride Perkhidmatan Teksi Motosikal Pertama di Malaysia


Seperti "ojek" di Indonesia dan "motosai rap chang" di Thailand, warga kota di Lembah Klang kini mempunyai alternatif murah dan pantas untuk sampai ke destinasi tanpa perlu mengharungi kesesakan trafik dengan adanya perkhidmatan teksi motosikal pertama di Malaysia, Dego Ride.

Pengasasnya, Nabil Feisal telah Bamadhaj berkata, Dego Ride diperkenalkan pada 16 November lalu dengan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3km dan tambahan RM0.60 bagi setiap 1km seterusnya.

Katanya, perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 200 tempahan diterima sehari, di mana 70% pelanggannya terdiri daripada wanita.

Beliau berkata, majoriti 600 pemandu sahnya terdiri daripada lelaki, tetapi faktor utama wanita menggunakan Dego Ride kerana mereka merasakan ia menawarkan perkhidmatan selamat, selain menjimatkan daripada segi kos dan masa disebabkan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Apabila wanita menaiki motosikal, dia boleh letak beg dekat depan dan tangan di peha sendiri. Dia boleh naik motosikal tanpa menyentuh lelaki itu, "katanya kepada FMT di ibu negara baru-baru ini.

"Kalau anda masuk kereta, anda akan terdedah kepada situasi lelaki boleh lakukan perkara tidak sepatutnya, merepek, mengunci kereta ... perkara itu sebenarnya lagi berisiko.

"Berbanding anda jadi pembonceng motosikal, anda boleh meloncat apabila perkara tidak sepatutnya berlaku, kalau pemandu itu nak bawa ke tempat berbahaya dan sudah tentu anda akan cedera, tapi lebih selamat daripada kereta, di mana anda boleh diculik, tak ada orang boleh nampak."

Tambahan, beliau berkata, pihaknya akan mengesan lokasi penunggang Dego Ride melalui GPS bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Nabil berkata, pelanggan Dego Ride turut dilindungi insurans jika berlaku sebarang musibah dalam perjalanan, selain topi keledar, topi mandi bagi tujuan kebersihan rambut dan baju hujan akan disediakan untuk pelanggan.

Ditanya punca lelaki jarang menggunakan perkhidmatan Dego Ride, beliau berkata, mungkin disebabkan kebanyakan lelaki sudah mempunyai kereta atau motosikal sendiri.

"Wanita tak macam tu, mereka akan simpan duit untuk keperluan lain. Lelaki juga boleh pinjam motosikal kawan, "katanya yang merancang memperluaskan perkhidmatan itu ke Melaka, Johor dan Pulau Pinang, tahun depan.

Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan Dego Ride boleh menghubungi 017-388 9269 melalui sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp atau layari http://dego.my/

No comments

Powered by Blogger.