Cadangan RISDA Untuk Tanam Ketum Ditolak, Ini Alasan Mereka Mengejutkan

                          post-feature-image

PUTRAJAYA: Cadangan penanaman ketum oleh pihak Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah ditolak oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selepas mendengar segala penerangan dari mereka.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan mereka telah membuat keputusan selepas pihaknya mendengar taklimat dari RISDA berkenaan cadangan itu dari segi kebaikan dan keburukan hasil dari penanaman pokok itu.

"Kita dapati keburukan atau kesan negatif daripada penanaman ketum adalah lebih besar daripada faedah dan jika diteruskan ia akan membawa lebih banyak kesan sosial dan implikasi buruk kepada masyarakat.

"Berikutan itu, kementerian memutuskan untuk tidak menerima cadangan Risda walaupun penanamannya dikatakan untuk tujuan eksport, boleh membawa keutungan dan memberi tambahan pendapatan kepada pekebun kecil," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada Risda berkenaan ketum di kementeriannya, di sini.

Jelasnya lagi, keputusan itu turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan negeri termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang jelas menolak cadangan itu.

Ditanya mengenai perkara positif daripada penanaman ketum yang dibentangkan Risda, Ismail Sabri berkata, keuntungan merupakan satu-satunya kebaikan yang disebut dengan Risda menganggarkan pendapatan daripada jualan ketum boleh mencecah RM22,800 sebulan untuk satu hektar tanaman.

Beliau berkata, usaha menambah pendapatan pekebun kecil akan diteruskan dengan memperbanyak tanaman sampingan di kebun seperti cili dan cendawan selain memperkasakan program-program keusahawanan sedia ada.

"Jadi, saya harap isu ini dihentikan kerana Risda tidak akan terlibat dengan program tanaman ketum untuk penambahan pendapatan pekebun," katanya. -sensasi.org

No comments

Powered by Blogger.