Akhirnya Terjawab! Saharul Ridzwan Bongkar Kisah Pertemuan Semula Dengan Bakal Isteri
Sebelum ini pelakon yang pernah popular dengan drama Kau Aku Kita iaitu Saharul Ridzwan berteka teki dengan peminat mengenai hal perkahwinannya.
Namun, yang terbaru Saharul mendedahkan bahawa segala gosip yang tersebar selama ini adalah benar belaka. Beliau akan berkahwin dengan Qaabila Deena Emir pada 16 September nanti.
Malah, Saharul menjelaskan pertemuan semula denga Qaabila pada bulan Januari lalu telah membuka hati kedua belah pihak untuk melangkah ke alam rumah tangga.
"Sebenarnya saya sudah mengenali bakal isteri sejak empat tahun lalu namun kami membawa haluan masing-masing sebelum kembali bertemu pada Januari lalu.
"Apabila kami kembali bertemu masing-masing sudah matang dan saya percaya dia jodoh saya yang terbaik.
"Jujurnya kami bukan seperti pasangan kekasih yang lain malah sepakat untuk bercinta selepas berkahwin kerana pada tahap ini paling penting adalah tanggungjawab," katanya.
Majlis akad nikah mereka akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada pukul 9.30 pagi manakala majlis resepsi diadakan pada hari sama di Dewan Sri Siantan Putrajaya bermula 3 petang.
Pasangan itu juga akan mengadakan satu lagi resepsi khas buat peminat pada 18 September namun masih belum menetapkan lokasi majlis tersebut.
Apabila ditanya mengenai keistimewaan Qaabila di matanya, Saharul menjelaskan sikap bertanggungjawab membuatkan dia yakin wanita berkenaan adalah yang terbaik untuknya.
Bagaimanapun Saharul enggan berkongsi lanjut mengenai perkenalannya dengan bakal isterinya itu dan hanya bersedia berbuat demikian pada hari perkahwinannya nanti.
"Insya-Allah pada hari kami selamat disatukan sebagai suami-isteri saya dan Qaabila akan berkongsi kisah kami.
"Tetapi sikapnya yang bertanggungjawab membuatkan saya terpaut hati dan yakin dia adalah jodoh saya.
"Ini kerana perkahwinan itu bukan semata-mata kerana cinta tetapi tanggungjawab dalam melayari alam rumah tangga," ujarnya.
Qaabila merupakan pemilik butik Wrap yang menjual pakaian muslimah pernah digosipkan dengan Saharul sebelum ini. Apapun, semoga majlis perkahwinan nanti akan berjalan lancar.
Post a Comment