7 Fakta Joseph Schooling, 'Ikan Bilis Singapura' Yang Tewaskan Michael Phelps

               Susulan kemenangan di Rio, nama Joseph Schooling terus trending di media sosial dengan ucapan tahniah.

Nama Joseph Schooling terus menjadi hangat setelah perenang Singapura itu bukan sahaja memenangi pingat emas sulung untuk negaranya, tetapi beliau berjaya menewaskan perenang hebat Amerika Syarikat Michal Phelps.

Schooling memberikan persembahan memukau untuk memenangi pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu pada Jumaat.

Kemenangan itu sekali gus mencatat rekod Olimpik 50.39 saat.

Penyertaan beliau dalam Olimpik Rio hampir tidak diberi perhatian pada awalnya. Namun selepas meraih emas, sesetengah laporan media mengumpamakan beliau sebagai 'ikan bilis Singapura' yang berjaya menumpaskan ego Phelps selaku jaguh kolam terkemuka.

Berikut adalah 7 fakta menarik tentang Schooling. 

1. Pendidikan

Joseph Schooling dilahirkan pada 16 Jun 1995 di Singapura.

Beliau menerima pendidikan awal di Singapura sebelum ke Amerika Syarikat (AS) untuk menerima pendidikan sekolah menengah.

Beliau kini merupakan seorang pelajar di University of Texas, di Austin, AS dan merupakan ahli pasukan Texas Longhorns, sebuah pasukan elit dalam kalangan pelajar universiti.

2. Inspirasi untuk bertanding di Olimpik

Menurut laporan Today Online, ketika masih kecil Schooling menanam impian untuk bertanding di tahap Olimpik setelah berborak bersama ahli keluarga yang lain tentang datuk saudaranya, Lloyd Valberg, yang mewakili Singapura dan bertanding di temasya Olimpik pada tahun 1948 dalam acara lompat tinggi.

3. Bertemu Michael Phelps

Kemenangan di Rio bukan pertemuan kali pertama antara Schooling dan Phelps.

Akhbar The Straits Times melaporkan kedua-dua perenang itu pernah bertemu di China sebelum temasya Olimpik di Beijing pada tahun 2008.

Ketika itu Schooling berusia 13 tahun dan menganggap Phelps sebagai idola.

4. Latihan di Amerika Syarikat

Setelah bertemu Phelps, Schooling membuat keputusan untuk berlatih di Amerika Syarikat.

Ibu bapa beliau mengambil Sergio Lopez sebagai jurulatih.

Lopez pernah menang pingat gangsa di temasya Olimpik di Seoul pada 1988 namun lebih terkenal sebagai jurulatih yang hebat.

Lopez memberi fokus kepada teknik berbanding berbanding membina otot.

5. Pencapaian hebat

Schooling mula memenangi pingat untuk Singapura bermula dengan temaysa Sukan SEA pada 2011 di Indonesia.

Beliau sekali gus layak untuk bertanding di temasya Olimpik pada 2012 di London. Namun, beliau gagal untuk melayakkan diri dalam pusingan separuh akhir.

Beliau memenangi pingat perak dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu di sukan Komanwel yang berlangsung pada 2014 di Glasgow.
Beliau memenangi pingat gangsa di acara World Championships di Kazan, Rusia pada 2015.

6. Khidmat Negara

Pada 2013 ibu Schooling, May, berjaya untuk mendapatkan penangguhan untuk anaknya dari latihan Khidmat Negara yang merupakan wajib kepada semua lelaki rakyat Singapura.

Tempoh ini akan tamat pada 31 Ogos 2016, iaitu selepas temasya Olimpik di Rio.

7. Kebanggaan negara

Susulan kemenangan di Rio, nama Schooling terus trending di media sosial dengan ucapan tahniah.

No comments

Powered by Blogger.