DOTA 2: TI6 Tawar Habuan Lebih RM75 juta, Tertinggi Dalam Sejarah e-Sukan

                                 DOTA 2: TI6 tawar habuan lebih RM75 juta, tertinggi dalam sejarah e-sukan

KUALA LUMPUR: Kejohanan The International 2016 (TI6) mencipta sejarah pada tahun ini dengan rekod kutipan melebihi RM75 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah sukan elektronik.

Jumlah terkumpul RM75,035,075 kali ini mengatasi kutipan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM74,963,372.36.

TI6 yang bakal berlangsung pada 3 hingga 14 Ogos nanti merupakan kejohanan tahunan DOTA 2 edisi keenam anjuran Valve.

Perlawanan peringkat kumpulan dan ‘wildcards’ membuka tirai pada 3 hingga 6 Ogos dengan kesemua 16 pasukan bakal merebut lapan tempat teratas pada acara utama.

Acara utama kejohanan pula bakal berlangsung pada 9 hingga 14 Ogos, yang bakal menentukan kedudukan finalis ‘upper bracket’ dan ‘lower bracket’.

Sementara itu, stesen televisyen berbayar Astro akan menyiarkan secara langsung kejohanan TI6 menerusi Saluran 808 Egg Network dan Astro On the Go.

Ketua Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata menjadi satu kebanggaan bagi eGG Network menjadi saluran pertama di ASEAN yang menyiarkan liputan penuh kejohanan TI6, daripada peringkat saringan kumpulan hingga ke peringkat akhir.

“Lebih 1.6 juta peminat menonton siaran pada pusingan akhir TI5 tahun lalu dan kami percaya akan lebih ramai lagi yang akan menonton kejohanan tersebut kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

No comments

Powered by Blogger.