Tangkak Diisytiharkan Sebagai Kawasan Pelancongan

TANGKAK: Tangkak diisytihar sebagai kawasan pelancongan, malam tadi, sejajar hala tuju kerajaan Johor dan Pelan Induk Perancangan Negeri Johor 2016-2020 untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata Tangkak bertuah kerana dianugerahkan keindahan alam semulajadi yang sering menjadi tumpuan pelancong, khususnya Gunung Ledang yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna.

"Sebagai langkah awal, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk mewujudkan taman mini ajaib di sebelah Masjid Tangkak dan peruntukan memperindahkan landskap kawasan Tol Tangkak dengan spesis tumbuhan Gunung Ledang manakala Tol Bukit Gambir akan dihiasi tumbuhan hutan negeri Johor bernilai RM800,000.

"Di samping itu, peruntukan sebanyak RM200,00 diluluskan bagi membina skrin elektronik di Dataran Ledang bagi kemudahan penduduk Tangkak menonton perlawanan pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran daerah Tangkak sebagai daerah pelancongan dan Pelan Pembangunan Strategik Majlis Daerah Tangkak 2016-2020 sempena program Semarak Johor Tangkak 2016 di Dataran Ledang, di sini malam tadi.

Program Semarak Johor Tangkak 2016 merupakan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertujuan mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Turut dilancarkan serentak ialah buku mewah bertajuk 'Biodiversity of Gunung Ledang-Mountaineering the Nature' yang dihasilkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Hamim yang juga ahli Parlimen Ledang berkata terdapat 22 produk pelancongan lama dan baharu dikenal pasti dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Tangkak 2016-2020 dan hasil kajian tersebut menyasarkan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang bakal memacu ekonomi kawasan berkenaan.

Beliau berkata antara produk tersebut adalah sawah padi di Sawah Ring, perusahan cendawan, memancing udang galah di Sungai Muar, tanaman sayur-sayuran di seluruh daerah Tangkak, pelbagai kebudayaan serta pusat tekstil dan pakaian di bandar Tangkak.

"Peluang ini mestilah direbut dan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh penduduk Tangkak kerana sektor pelancongan sebenarnya mampu menjana pulangan lebih lumayan.

"Industri pelancongan juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia umpamanya dalam bidang perhotelan, pengangkutan, syarikat ringan dan bidang lain yang berkaitan dengan sektor pelancongan," katanya.

Menurut Hamim, dalam keghairahan mengaut keuntungan sektor pelancongan, aspek pemuliharaan alam sekitar perlu diambil berat supaya anugerah yang tidak ternilai di Tangkak itu boleh mendatangkan manfaat berganda kepada semua pihak.

Katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor juga akan memberi penekanan dalam meningkatkan ketibaan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

"Untuk masa hadapan, beberapa tarikan baharu akan dibina di Tangkak antaranya ialah litar perlumbaan di gerisik dan pusat pameran perabot bagi menambah tarikan di kawasan ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.