PM Turki Bakal Undur Diri?
Ahmet Davutoglu
ANKARA - TURKI. Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu merancang untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua parti pemerintah negara Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) selepas rundingan bertujuan mengurangkan ketegangan antara beliau dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan gagal.
Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan sehingga kini, namun media tempatan menyifatkan mesyuarat selama 90 minit itu sebagai kritikal untuk masa depan Davutoglu.
Malah, organisasi media tempatan CNN Turki dan NTV turut melaporkan, sebuah Kongres luar biasa akan diadakan pada hujung bulan ini yang bakal menyaksikan pengunduran pemimpin berkenaan.
"Presiden dan perdana menteri telah mencapai persetujuan mengenai kongres tersebut. Saya tidak rasa Davutoglu akan menjadi calon lagi," menurut seorang ahli parti.
Sementara itu, Turki dijangka tidak mengadakan pilihan raya selepas AKP memilih pemimpin baharu dan parti akan terus selamat sehingga mandat kerajaan semasa tamat tiga tahun lagi. - Agensi
Post a Comment