My Stupid Boss Hasil Kolaborasi 2 Negara



FILEM terbaharu, My Stupid Boss sememangnya sebuah naskhah yang boleh dikatakan bersifat unik kerana ia melibatkan kerjasama antara penggerak dunia seni hiburan dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Sudah pasti hubungan dua hala itu secara tidak langsung akan mewujudkan satu senario baharu terhadap perkembangan industri seni bagi negara serumpun. Ia juga memberi satu pengalaman baharu dan perkongsian ilmu.

"Sebagai penggiat filem, menjadi impian setiap syarikat produksi untuk membawa produk mereka merentasi sempadan. Saya melihat industri perfileman Malaysia cukup berkembang pesat, terutama ketika seluruh dunia menghadapi masalah sama iaitu kemerosotan jumlah penonton ke pawagam.

"Apatah lagi, Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang hidup berjiran dan mempunyai cita rasa serta budaya yang sama," ujar penerbitnya, Frederica yang mahu memilih Malaysia sebagai negara yang memberi rangkaian terbaharu dalam perkembangan filem-filemnya.

ih pelakon popular

Taruhan terbaharu syarikat produksi terkenal dari Indonesia, Falcon Pictures (FC) itu mengangkat hasil tulisan karya anak tempatannya, Chaos @ work yang memaparkan kisah kehidupan harian masyarakat yang banyak menghabiskan masa di tempat kerja.

Menariknya, ia juga merupakan sebuah karya adaptasi daripada empat siri novel paling laris di republik itu yang menggunakan judul sama.

Filem ini boleh dikatakan bersifat lebih dekat dengan penonton yang mana ragam yang dipaparkan itu mengisahkan kehidupan realiti yang dilalui oleh kita yang bergelar pekerja atau majikan.

Menurut Fredirica, filem ini menjalani penggambaran di Indonesia dan Malaysia. Bagaimanapun, secara keseluruhan, ia memaparkan paparan filem yang berlatarkan imej Kuala Lumpur secara keseluruhan.

"Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari termasuk dua minggu di negara ini mengambil latar 100 peratus lokasi luar di Kuala Lumpur. Penggambaran dalaman pula dilakukan di studio di Jakarta.

"Menariknya, gabungan pelakon Indonesia dan Malaysia dipilih berdasarkan populariti mereka. Bunga Citra Lestari atau BCL dan Reza Rahadian mewakili Indonesia manakala Atikah Suhaimie, Bront Palarae serta Chew Kinwah pula membina reputasi yang meyakinkan di Malaysia.

"Kami juga melantik syarikat perfileman berpengaruh iaitu Skop Production Sdn. Bhd. sebagai pengedar filem ini di seluruh pawagam di Malaysia, "katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pengeluar Terbaik pada Anugerah Filem Box Office Indonesia 2016 di Jakarta baru-baru ini.

Atikah teruja

Filem itu juga menjadi percubaan pertama kerjasama pengeluaran FC yang pernah menerbitkan filem pecah panggung di negara seberang iaitu Laskar Pelangi, Comic 8 dan Comic 8: Kasino Kings memperluaskan pasaran filem ke negara ini.

Sementara itu, pelakon Atikah Suhaime menyifatkan, peluang yang diberikan kepadanya itu merupakan satu peluang yang cukup bernilai. Ini kerana filem itu merupakan naskhah pertama bekerjasama dengan produksi dari Indonesia.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya bergandingan dengan aktor dan aktres yang mempunyai nama besar di Indionesia. Selama sebulan juga saya berada di Jakarta. Cumanya, sewaktu di sana, penggambaran dilakukan di dalam studio dan babak-babak dalam pejabat dilakukan di situ, "katanya yang memegang watak sebagai Norahsikin.

Menurut Atikah, menariknya, filem ini memberi pendedahan kepada umum mengenai pendedahan dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

"Sewaktu menjalani penggambaran pun ada kalanya saya kurang faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh kru produksi. Maklumlah ada perkataan bahasa Indonesia yang saya kurang faham.

"Jadi, itu yang jadi lucu juga, tertanya-tanya sama ada masing-masing faham ke dengan apa yang diperkatakan," kongsinya.

Filem ini mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di negara jiran iaitu Malaysia.

Di sana, Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang mempunyai pekerja dari pelbagai negara.

Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian).

Bossman mempunyai tingkah laku yang pelik tetapi wataknya melucukan.

Bossman mempunyai prinsip yang luar biasa, berbeza dengan majikan lain.

Di pejabatnya, tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara. Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu 'bossman Always Right'.

Setiap keinginannya harus dituruti semua pekerjanya. Di situ, Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman.

Filem yang menjalani penggambaran bermula Oktober tahun lalu juga akan ditayangkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula 19 Mei ini.

No comments

Powered by Blogger.