Messi Sah Jalani Pembedahan Buah Pinggang


Barcelona sahkan Messi jalani ujian masalah buah pinggang







PENYERANG sensasi Barcelona, ​​Lionel Messi mungkin terlepas perlawanan kedua separuh akhir Copa del Rey menentang Valencia 11 Februari ini selepas dia dihantar untuk menjalani ujian perubatan buah pinggang.

Barcelona mengesahkan Messi menjalani ujian lanjutan mengenai masalah buah pinggang hari ini selepas ujian pertama dilakukan pada Disember lalu.

Pemain antarabangsa Argentina itu turut terlepas aksi Piala Dunia Kelab di Jepun baru-baru ini akibat kolik buah pinggang dan ketidakselesaan perut yang biasanya disebabkan oleh batu karang.

Media di Sepanyol pada Selasa melaporkan Messi mungkin menghadapi pembedahan kecil untuk membetulkan masalah tersebut, yang didakwa telah berlarutan sejak beberapa minggu lalu walaupun pemain berusia 28 tahun itu hanya terlepas satu perlawanan pada 2016 setakat ini.

Barca menjelaskan, ujian perubatan mengambil masa selama dua hari minggu ini dan menjangkakan penyerang itu akan kembali berlatih bersama pasukan pada Khamis.

"Messi akan dihantar untuk menjalani beberapa ujian pada Selasa dan Rabu untuk menilai perkembangan masalah buah pinggang yang dialaminya pada Disember lalu," menurut kenyataan Barcelona yang disiarkan di laman web rasmi mereka.

"Pada Khamis, pemain itu akan kembali berlatih bersama kesebelasan utama pasukan."

Pada perlawanan pertama separuh akhir Copa del Rey pada 4 Februari lalu, Barcelona meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Valencia di Stadium Mestalla. 

No comments

Powered by Blogger.