Ketuat Muncul Sebab Darah Ayam?

Ketuat Muncul Sebab Darah Ayam?|Mungkin ada antara kita yang pernah yang pernah mendapat kutil yang dikenali sebagai ketuat pada mana-mana bahagian badan. Ramai yang sedia maklum, ketuat lebih biasa berada di bahagian tangan dan kaki. Orang tua-tua ada mengatakan bahawa, ketuat terjadi disebabkan darah ayam yang terkena pada bahagian tubuh. Sejauh manakah kebenaran kata-kata ini?

Ketuat Muncul Sebab Darah Ayam?

Sebelum anda pergi lebih jauh mengenai ketuat, anda perlu tahu bahawa ketuat telah lama berdampingan dengan hidup manusia. Ia telah dijumpai pada tubuh mumia yang berusia 3,000 tahun. Walaupun secara umumnya ketuat tidak berbahaya, tetapi ia boleh berjangkit dan menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan kepada individu terbabit.

Adakah saya mendapat ketuat disebabkan oleh darah ayam?

Sebenarnya, ketuat terbentuk apabila virus human papillomavirus (HPV) menghinggapi kulit anda lalu menyebabkan jangkitan. Ia cenderung untuk terbentuk pada bahagian kulit yang pecah atau mengalami koyakan seperti bahagian kulit yang mengalami luka akibat cukur. Virus yang hadir berkemampuan memasuki bahagian lapisan atas kulit anda melalui luka tersebut, lalu menyebabkan apa yang dipanggil sebagai ketuat.

Adakah ia boleh berjangkit?

Ya, ketuat sememangnya boleh berjangkit. Anda boleh mendapat ketuat dengan hanya menyentuh ketuat orang lain atau bersentuhan dengan permukaan yang telah disentuh oleh ketuat individu lain seperti kain tuala. Tambahan lagi, ketuat juga boleh berjangkit ke mana-mana bahagian lain tubuh anda walaupun anda mempunyai hanya satu ketuat. Ini bermakna, anda sendiri boleh menambahkan bilangan ketuat pada badan anda dengan hanya menyentuh ketuat pada tubuh anda sendiri. Sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa mencuci tangan sekiranya anda menyentuh ketuat anda dan mengelakkan daripada menyentuh mana-mana bahagian kulit yang mengalami luka.

Kenapa ada ketuat yang mempunyai titik-titik berwarna hitam?

Jika anda mempunyai ketuat yang berwarna hitam atau mempunyai titik-titik hitam, ia sebenarnya adalah salur darah yang membekalkan ketuat dengan nutrien dan oksigen. Ketuat pun perlukan nutrien dan oksigen untuk bertahan hidup tau!

Bolehkah ketuat sembuh dengan sendirinya?

Ia bergantung kepada jenis ketuat tersebut. Ada yang boleh hilang dengan sendirinya dan ada juga yang mungkin memerlukan rawatan untuk menghilangkannya. Kadangkala, ia boleh mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Sesetengah ketuat juga adalah ketuat “ibu” yang menyebarkan ketuat ke bahagian lain tubuh anda.

Apakah jenis rawatan yang boleh saya gunakan untuk menghilangkan ketuat?

Bagi jenis ketuat yang biasa terjadi, anda boleh mencuba mendapatkan produk untuk menghilangkannya di kaunter farmasi. Cuba dahulu dalam beberapa bulan untuk melihat keberkesanannya. Sekiranya ketuat anda masih tidak hilang, berjumpalah dengan doktor atau ahli dermatologi. Anda boleh dapatkan kaedah rawatan yang lebih berkesan dan pantas bagi menghilangkannya. Walau bagaimanapun, anda perlu terus berjumpa dengan doktor sekiranya berada dalam keadaan berikut:

◾ Anda mempunyai ketuat pada bahagian muka atau mana-mana bahagian tubuh yang sensitif seperti kemaluan, mulut dan lubang hidung

◾ Terdapat pendarahan atau tanda-tanda jangkitan seperti nanah disekitar ketuat

◾ Ketuat tersebut menyebabkan kesakitan

◾Warnanya berubah

◾ Mempunyai ketuat dan diabetes atau kekurangan imun tubuh

Apakah cara untuk mengelakkan daripada dijangkiti ketuat?

Anda boleh ikuti langkah-langkah mudah ini agar anda tidak dijangkiti ketuat:

◾Basuh tangan anda dengan kerap terutamanya jika anda ada menyentuh ketuat individu lain
◾Jangan sentuh ketuat anda
◾Tutup ketuat anda dengan menggunakan pembalut
◾Pastikan tangan dan kaki anda kering
◾Pakai selipar apabila anda menggunakan tempat-tempat awam seperti tandas

Jelas sekali bahawa ketuat disebabkan oleh jangkitan virus dan bukanlah faktor darah ayam. Jika faktor darah ayam semata-mata, pasti ketuat tidak mudah berjangkit dengan hanya melalui sentuhan. Jika benarlah ketuat disebabkan oleh darah ayam, pasti ramai yang tidak mahu lagi berniaga ayam di pasar. Jika tidak, dialah individu yang paling teruk dijangkiti ketuat.

Credit Artikel: Hello Doktor

1 comment:

Powered by Blogger.