Panduan Lengkap Membuat Permohonan Pinjaman PTPTN

Panduan Lengkap Membuat Permohonan Pinjaman PTPTN|TAHUKAH anda, Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuhnya atau sebahagian yuran pengajian selain kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Dengan pinjaman yang diperolehi, ianya dapat memudahkan banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Baca juga:
Semakan Baki Pinjaman PTPTN Secara Online

Panduan Lengkap Membuat Permohonan Pinjaman PTPTN

Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN yang disediakan oleh kerajaan ini terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja.

Apabila berbicara mengenai PTPTN ini, pelbagai persoalan timbul sama ada dalam kalangan pelajar mahu pun ibu bapa. Oleh itu, berikut dikongsikan panduan lengkap permohonan pinjaman PTPTN dengan lebih terperinci.

Apakah Syarat Permohonan Pinjaman Pendidikan PTPTN?

PTPTN menetapkan dua kategori syarat bagi membolehkan pelajar memohon pinjaman iaitu syarat umum bagi pemohon yang baru pertama kali memohon dan syarat permohonan kali kedua, bagi pelajar yang sebelum ini pernah mendapat bantuan pembiayaan pendidikan daripada PTPTN, misalnya graduan Diploma yang memerlukan pinjaman pembiayaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Bagi memastikan anda memenuhi syarat berkenaan, klik syarat umum dan klik syarat permohonan PTPTN untuk kali kedua  mengikut kategori permohonan anda.

Bilakah Permohonan PTPTN Akan Dibuka?

Bagi anda yang ingin membuat pinjaman pendidikan ini, anda perlu membuat pendaftaran permohonan secara atas talian (online) selepas menerima tawaran kemasukan ke universiti. Kemudian, untuk menghantar permohonan kepada pihak PTPTN, anda perlu menyemak tarikh jadual permohonan pinjaman mengikut institusi masing-masing.

Langkah Membuat Permohonan PTPTN

Langkah ini perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Sekiranya anda membuat kesalahan dalam mana-mana langkah ini, kemungkinan permohonan anda tidak diterima dan anda perlu membeli semula nombor pin untuk membuat permohonan yang baru. Tetapi suka diingatkan bahawa, untuk membuat permohonan yang baru anda perlu memaklumkan kepada pihak PTPTN terlebih dahulu untuk membatalkan permohonan yang lama. Selepas PTPTN membatalkan permohonan yang lama tersebut, barulah anda boleh membuat permohonan yang baru.

Berikut dikongsikan langkah-langkah permohonan PTPTN seperti dibawah!

Langkah pertama, anda perlu membuka akaun SSPN-i di  mana-mana cawangan Maybank, Bank Rakyat, Bank Islam, Agrobank atau mana-mana cawangan PTPTN bagi mendapatkan nombor akaun SSPN-i. Bagi anda yang membuka akaun SSPN-i di Maybank dan Bank Rakyat, anda boleh membuat permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN pada hari yang sama manakala bagi pembukaan akaun SSPN-i yang dibuat di BIMB dan Agrobank, permohonan pembiayaan pendidikan hanya boleh dilakukan pada keesokan harinya.

Langkah kedua, anda perlu membeli nombor pin PTPTN di mana-mana kaunter cawangan BSN, ATM BSN yang berdekatan atau melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), berharga RM5.00. Nombor pin ini diperlukan untuk log masuk bagi membuat permohonan. Tempoh sah nombor pin adalah selama 6 bulan bermula dari tarikh pembelian.

Langkah ketiga, anda perlu melayari  laman web Sistem Pinjaman Pendidikan untuk membuat pendaftaran secara atas talian (online). Anda diingatkan juga untuk menyemak terlebih dahulu syarat kelayakan masuk ke IPT yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di IPT masing-masing sebelum mengemukakan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN secara “online”.

Langkah keempat, anda boleh membuat semakan permohonan pinjaman untuk mengetahui sama ada anda berjaya atau pun sebaliknya. Sekiranya berjaya, anda perlu membuka akaun simpanan bank mengikut panel bank yang telah ditetapkan oleh pihak PTPTN. Ini kerana pembiayaan pinjaman anda akan dikreditkan ke akaun bank tersebut.

Adakah PTPTN menyediakan tawaran pinjaman pendahuluan kepada pelajar sebagai persediaan untuk mendaftar masuk ke universiti?

PTPTN sedia maklum bahawa tidak semua golongan pelajar yang berkemampuan dari segi kewangan ketika mula mendaftarkan diri ke universiti. Maka, Wang Pendahuluan Pinjaman berjumlah RM1,500.00 akan diberikan kepada pelajar dalam tempoh dua minggu sebelum pendaftaran pelajar ke universiti. Walau bagaimanapun, pelajar perlu memenuhi syarat-syarat berikut sebelum layak untuk menerima WPP ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

-Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP;
-Pelajar adalah Warganegara Malaysia;
-Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M);
-Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja;
-Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.

*Pembayaran semula WPP ini akan ditolak terus daripada pembiayaan pinjaman setiap 3 semester pertama yang akan dikreditkan ke akaun anda kelak. Setiap semester akan ditolak sebanyak RM 500.00.

Berapakah jumlah amaun pinjaman yang akan diperolehi oleh pelajar sepanjang tempoh pengajian?

Amaun pinjaman yang ditawarkan oleh pihak PTPTN adalah mengikut pendapatan isi rumah anda. Terdapat tiga peringkat pinjaman iaitu:

1-Pinjaman penuh 100%
Sekiranya anda atau penjaga anda disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

2-75% daripada pinjaman penuh 100%
Sekiranya pendapatan keluarga anda  tidak melebihi RM8,000  dan tiada dalam data BR1M.

3-50% daripada pinjaman penuh 100%
Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 dan tiada dalam data BR1M.

Bilakah bayaran pertama pinjaman PTPTN akan dikreditkan ke akaun pelajar?

Pembayaran pertama pinjaman PTPTN akan dibuat setelah anda memulangkan dokumen perjanjian yang lengkap kepada PTPTN pada semester pertama pengajian iaitu ketika road show PTPTN ke IPT anda.

Bagi semester seterusnya, pembayaran pinjaman kepada pelajar akan dibuat berdasarkan syarat-syarat berikut:

-Masih meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan oleh KPM.
-Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG) 2.0 ke atas
-Tidak menerima penajaan dari pihak yang lain.

Apakah punca yang menyebabkan pinjaman diberhentikan?

Pinjaman  pendidikan akan diberhentikan atas sebab-sebab berikut:

1-Gagal/berhenti pengajian pada peringkat/ jurusan/ IPT yang diluluskan semasa memohon pinjaman pendidikan
2-Pelajar membuat pembatalan pinjaman pendidikan PTPTN
3-Menerima tajaan lain
4-Pemalsuan maklumat semasa permohonan
5-Penerima biaya diisytihar muflis

Bolehkah Pinjaman PTPTN ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa?

Ya, sudah tentu jika peminjam menamatkan pengajian dengan dianugerahkan “Kelas Pertama” dalam pengajian masing-masing. Penentuan Kelas Pertama adalah mengikut IPT masing-masing. Pelajar hanya perlu menyertakan transkrip akademik yang diperolehi yang mengesahkan bahawa mereka dianugerahkan  kelas pertama dalam pengajian kepada PTPTN.

Semoga perkongsian mengenai panduan lengkap permohonan PTPTN ini dapat membantu anda!

2 comments:

  1. thanks for sharing. Mmg kebetulan tertanya2 pasal PTPTN utk adik. Sbb sebelum ni smua adik beradik xpenah ambik pinjaman PTPTN. smua amik pinjaman MARA. huhu

    ReplyDelete

Powered by Blogger.