5 Sebab Mengapa Rizal Ghazali Layak Dipilih Pemain Terbaik Piala Malaysia 2016


Pemain Kedah Mohd Rizal Ghazali dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Malaysia 2016 selepas membantu skuad Lang Merah meraih kejuaraan kali kelima trofi tersebut.

Jika edisi lepas anugerah tersebut diraih penyerang Selangor Ahmad Hazwan Bakri dengan menyumbang dua gol buat pasukan, kali ini giliran pemain pertahanan diberi penghormatan. Sungguh mengagumkan!

Berikut lima sebab mengapa anak kelahiran Baling, Kedah itu layak dipilih menerima anugerah tersebut:

1- Sumbangan Gol

Sudah tentu kriteria pemilihan pemain terbaik akan dipengaruhi jumlah jaringan gol yang berjaya dilakukan khsususnya pada perlawanan akhir, Ahad lalu.

Walaupun beraksi di posisi pertahanan kanan, Mohd Rizal berjaya menjaringkan gol tunggal Kedah pada minit ke-52 membolehkan mereka mendahului lawan.

Walaupun ada yang berpendapat rangkaian itu hanya 'nasib', namun dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tidak perlu dipersoalkan lagi sekiranya tidak melanggar peraturan ditetapkan. Pendek kata, yang penting gol.

2- Penentu Kemenangan

Rizal menjadi watak penting dan hero Kedah selepas memastikan sepakan penalti dilakukannya melayakkan mereka merangkul Piala Malaysia edisi ke-90.

Ketika Smeltz Shane Edward gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama, penyokong Kedah sudah gelisah.

Mujur penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim menafikan sepakan Azmi Muslim yang melakukan sepakan ketiga Selangor dan Mohd Farhan menyamakan kedudukan 2-2.

Kemudian kesilapan Hafiz Kamal memberi peluang untuk Kedah sebelum Amirul Hisyam Awang Kechik mengecewakan penyokong Kedah dan Abd Halim Shaari menyelamatkan keadaan.

Dan akhirnya Rizal menggembirakan seluruh penyokong untuk memastikan Kedah juara selepas pemain Selangor Mohd Rizal Abd Rosid menghidupkan peluang untuk Lang Merah.

3- Keyakinan dan keberanian

Rizal baru berusia 24 tahun, pemain pertahanan yang tidak sekadar bersarang di kedudukannya.

Kerap kali dia kelihatan seperti pemain sayap kanan, membuat hantaran-hantaran berbahaya ke kawasan pertahanan Selangor.

Selain itu, anak jati Baling ini turut meletakkan diri sebagai 'target man'. Dia berani untuk membuat keputusan dan melakukan rembatan sekiranya berpeluang.

Pada minit ke-18 misalnya, Rizal pantas berlari dari tengah padang untuk menyambut hantaran lintang Ahmad Syazwan Zainol sekali gus melakukan rembatan ke arah gawang.

Ketika itu dia ada pilihan untuk menghantar bola sepak kepada rakan penyerang, tetapi Rizal memilih untuk memberanikan diri walaupun tidak menghasilkan gol.

Begitu juga keadaannya apabila gol Kedah terhasil. Keyakinan dan keberaniannya harus dipuji.

4- Komited Tinggi

Rizal antara pemain muda yang sering menjadi pujian jurulatihnya Tan Cheng Hoe.

Ketika Kedah terbelenggu dengan kelonggaran di bahagian pertahanan, kelibat Rizal tetap menjadi pilihan.

Penampilannya menjadi tonggak pertahanan seiring prestasi pemain berpengalaman seperti Khairul Helmi Johari ataupun Bang Seung Hwan.

5- Disunting Skuad Kebangsaan

Sebab kelima ini berdasarkan prestasi Rizal yang berjaya memikat hati jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Rizal menyahut cabaran negara dalam usaha memperkembangkan potensi bola sepaknya.

Pertama dipanggil ke kem latihan Harimau Malaysia 27 September lalu, Rizal menyarung jersi nombor dua beraksi ketika perlawanan persahabatan bertemu Singapura 7 Oktober lalu.

Pemain Terbaik Piala Malaysia 2016 itu berjaya melaksanakan tugas dengan baik membantu pasukan negara ketika itu. Syabas buat Rizal Ghazali, pertahanan terbaik Malaysia sekarang!

No comments

Powered by Blogger.