5 Perkara Asas Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Beli Rumah

                   Image result for 5 Perkara Asas Sebelum Beli Rumah Yang Anda Perlu Tahu

Sebelum anda merancang untuk membeli sesebuah rumah, pembeli perlu mengetahui beberapa perkara asas penting yang menjadi panduan sebelum membeli rumah seperti jenis rumah, kemampuan dari segi kewangan dan urusan jual beli.

Terdapat sekitar 5 perkara asas yang perlu diberi tumpuan kepada bakal pembeli:

1. Jenis Rumah

Perkara asas yang pertama, pembeli perlu tahu jenis rumah yang hendak dibeli, sama ada jenis bertanah seperti rumah teres, semi-D, banglo ataupun jenis bertingkat seperti flat, apartmen dan kondominium.

Kriteria jenis rumah perlu diberi perhatian kerana ia membabitkan pelbagai aspek lain seperti insurans, keselamatan, cukai tanah dan jenis perkhidmatan penyelenggaraan disediakan.

Bagi flat, apartment dan kondominium, pembeli perlu mengetahui pihak yang bertanggungjawab menyelenggara bangunan seperti tangki air, lif, kolam renang dan paling penting kesanggupan membayar khidmat penyelenggaraan serta berkongsi kemudahan disediakan dengan penghuni lain.

2. Status Kewangan

Pembeli perlu mengukur keupayaan kewangan masing-masing terlebih dahulu dengan mengambil kira pendapatan bersih selepas menolak bayaran termasuk bil sampingan.

Apa yang sering menjadi masalah ialah bakal pembeli enggan mendedahkan sumber kewangan sebenar mereka ketika berurusan dengan pihak pembiayai dan mengakibatkan mereka menghadapi masalah mendapatkan pinjaman serta ada yang kehilangan wang pendahuluan mereka.

3. Risiko

Pembeli perlu tahu dirinya sendiri sama ada pembeli berisiko tinggi, sederhana atau rendah. Pembelian rumah boleh diibaratkan seperti membuat pelaburan saham yang amat besar.

Sekiranya bakal pembeli pelabur berisiko tinggi maka mereka layak membeli rumah yang belum dibina ataupun sedang dalam pembinaan kerana berisiko projek berkenaan terbengkalai.

Jika enggan mengambil risiko tinggi, bolehlah beralih kepada rumah hampir siap atau sudah siap dengan sijil layak duduki. Perlu diingat juga harga rumah yang sudah siap tertakluk kepada nilai pasaran hartanah semasa.

4. Jenis Pelaburan

Pembeli harus tahu jenis pelaburan yang hendak dibuat dalam tempoh jangka panjang dan jangka pendek melalui pegangan tanah dimana bangunan kediaman berkenaan akan atau sudah siap dibina sepenuhnya.

Biasanya taraf tanah ada tiga iaitu pegangan bebas, pajakan ataupun rizab melayu yang hanya boleh dipindah milik kepada orang melayu saja.

Rumah yang dibina atas tanah pegangan bebas mempunyai nilai pasaran, sama ada ketika masih dalam pembinaan atau sudah siap kerana hartanah itu boleh dijual bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja.

Bagi rumah yang dibina atas tanah rizab Melayu, perlu diketahui bahawa ia khas untuk bumiputera Melayu dan pembeli asal hanya boleh menjual kepada bumiputera melayu juga.

5. Terma Perjanjian

Pembeli perlu memahami secara amnya terma dan kandungan dalam Surat Perjanjian Jual Beli. Bakal pembeli digalakkan merujuk contoh salinan perjanjian jual beli daripada rakan atau ahli keluarga yang pernah membeli rumah bagi mempersiapkan diri jika menghadapi masalah atau mengelak anda daripada tertipu.

Moga-moga tips ini dapat dapat membantu anda sebelum hendak membeli rumah!

No comments

Powered by Blogger.