Benarkah Meninggal Pada Hari Jumaat Terbebas dari Seksa Kubur?

                               tutup jenazah


KITA pasti sering mendengar dengan pernyataan bahawa orang yang meninggal pada hari Jumaat akan dibebaskan dari seksa kubur. Tapi benarkah demikian?

Dari Abdullah bin Amru bin Ash radhiyallahu 'anhuma dari Nabi Shallallahu' alaihi wa salam bersabda: "Tidak ada seorang muslim pun yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah kubur." (HR. Ahmad no . 6582 dan At-Tirmidzi no. 1074)

Akan tetapi para ulama hadis berbeza pendapat tentang kesahihan hadis ini. Mereka berpendapat bahawa hadis itu adalah hadis dhaif. Imam Tirmizi ketika meriwayatkan hadis ini menjelaskan hadis tersebut adalah hadis Gharib, yang kemudian ditegaskannya lagi sanadnya tidak bersambung (munqathi '/ terputus).

Ibnu Hajar al-'Asqalani menegaskan dalam kitab Fathul Bari sanad hadis ini dhaif dan juga diriwayatkan oleh Abu Ya'la dengan lafaz yang semisalnya dari Hadis Anas bin Malik, tetapi sanadnya lebih dhaif lagi.

Syeikh Syu'aib Al-Arnauth ketika memberi komentar terhadap hadis ini dalam Musnad Imam Ahmad mengatakan sanad hadis itu dhaif. Kemudian, ia menyebutkan beberapa hadis yang menyokong dan menegaskan semua hadis yang menyokong tersebut tidak boleh digunakan untuk menguatkan hadis ini. Dan, Albani telah salah kerana mengatakan hadis itu hasan atau sahih dalam kitabnya Ahkam al-Janaiz.

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Abdurrazzak dalam kitabnya al-Mushannaf dengan lafaz "dilepaskan dari azab kubur", tetapi dalam sanadnya ada Ibnu Juraij yang terkenal dalam mentadlis hadis.

Sebahagian ulama mengatakan jika memang kematian seseorang pada hari tertentu mempunyai keutamaan atau keistimewaan tentunya hari Isnin lebih utama kerana pada hari itulah Nabi Muhammad SAW, kekasih dan makhluk yang paling mulia yang diciptakan Allah SWT, meninggal dunia.

Jika hadis-hadis di atas adalah hadis sahih maka itu menunjukkan keutamaan bagi Muslim dan Muslimah yang meninggal dunia pada hari Jumaat. Dan, tentunya keutamaan ini hanya bagi kaum Muslimin yang meninggal dunia dalam ketauhidan, yakni keimanannya tidak dinodai oleh kemusyrikan, kekufuran, serta segala yang membatalkan keimanan seseorang.

Sedangkan, mereka yang meninggal dalam kemusyrikan dan kekufuran tentunya akan mendapat azab kubur dan siksa neraka sebagaimana yang telah dijanjikan Allah SWT dalam Al-Quran dan Sunah Rasul-Nya.

Sebagai seorang Muslim dan berpegang pada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, kita tidak boleh memastikan bahawa seseorang akan masuk syurga atau masuk neraka, kecuali yang sudah disebutkan oleh Nabi saw dalam hadis-hadisnya.

Sumber: ISLAMPOS

No comments

Powered by Blogger.