10 Perkara Yang Anda Patut Tahu Jika Mahu Jadi Mahasiswa Unggul Sebelum Ke Universiti

                                

Menjadi seorang mahasiswa, ia menuntut diri untuk lebih berani, kreatif dan kritis dalam menyampaikan idea, sahsiah harus mulia, fikiran harus cerdas, hati harus sensitif dan tindakan harus proaktif dan optimis.

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar lepasan SPM yang telah berjaya menerima tawaran untuk menempatkan diri di IPTA atau IPTS.

Kemasukan ke universiti pada September ini menuntut para pelajar untuk mempersiapkan diri menjadi mahasiswa minda kelas pertama. Dalam erti kata mempersiapkan diri sebelum menapakkan kaki ke universiti baru, timbul di fikiran para pelajar:

Apakah yang harus dipersiapkan agar dapat mengharungi hari-hari di universiti dengan baik dan tersusun?
Dan banyak lagi persoalan lain yang timbul dibenak fikiran para pelajar.

Di sini suka untuk saya kongsikan 10 perkara yang anda perlu tahu sebelum melangkah ke universiti.

1. Networking

Sebagai mahasiswa yang unggul dan cakna, anda perlu cepat dan pantas dalam membina hubungan dan jaringan persahabatan dengan yang lain yang akan memasuki universiti atau senior lepasan sekolah yang sama yang sudah berada di universiti tersebut supaya dapat saling bertukar pendapat dan fikiran tentang alam baru yang akan diharungi.

Dalam dunia teknologi masa kini, WhatsApp adalah satu medium yang paling mudah dan pantas untuk mengumpulkan ahli yang sama-sama membuat persiapan untuk ke menara gading. Melalui medium ini para pelajar dapat saling bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan sebagainya.

2. Ambil Tahu

Siswa dan siswi perlulah membuat kajian atau mengumpulkan maklumat tentang latar belakang universiti, visi dan misi dan mengambil tahu berita berkaitan universiti seperti pencapaian, kejayaan universiti dalam melahirkan mahasiswa minda kelas pertama dan sebagainya.

Perkara ini penting untuk mendapatkan gambaran awal tentang universiti sekaligus menjadikan pelajar bersemangat untuk menyahut cabaran dalam merealisasikan visi dan misi universiti tersebut.

3. Pendaftaran

Sebagai mahasiswa juga anda harus peka tentang prosedur pendaftaran universiti. Para pelajar akan mendapat surat tawaran universiti yang mana akan dilampirkan bersama surat dan borang yang harus diisi dan perlu dihantar semasa hari pendaftaran.

Para pelajar harus teliti dalam membaca borang-borang tersebut supaya dapat melaksanakan dan mengikuti kesemua arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh universiti.

4. Pinjaman

Kebiasaannya siswa dan siswi di IPTA mahupun IPTS akan memohon pinjaman atau biasiswa seperti JPA, MARA, BANK RAKYAT, PTPTN dan sebagainya.

Oleh itu, anda harus cakna prosedur dan syarat pinjaman atau biasiswa tersebut dari sudut kelayakan akademik, tempoh pinjaman atau biasiswa dan semua yang berkaitan.

Untuk pelajar yang melepasi kelayakan mendapatkan biasiswa, bolehlah memohon biasiswa JPA, MARA atau sebagainya dan bagi pelajar yang tidak bernasib baik, masih ada lagi peluang untuk mendapatkan pinjaman PTPTN, zakat dan pinjaman atau biasiswa dari yayasan negeri masing-masing.

Pelajar harus mendapatkan informasi terkini berkaitan pinjaman dan biasiswa dan harus bertindak cepat dan pantas sebelum tarikh tutup penghantaran borang.

5. Aktifkan Diri

Sebelum melangkahkan kaki ke dunia baru, iaitu dunia menara gading anda juga perlu mengambil tahu dan cakna tentang kelab atau persatuan mahasiswa yang aktif di universiti masing-masing.

Sepanjang berada di universiti, para pelajar dinasihatkan untuk terlibat dengan aktiviti berpersatuan supaya dapat melengkapkan diri dengan pelbagai ‘soft-skill’ yang akan dimanfaatkan apabila bergelar graduan nanti.

Universiti adalah lubuk untuk memupuk semangat kesukarelawan dan membantu untuk menghulurkan khidmat kepada masyarakat.

Justeru, melalui aktiviti berpersatuan, para pelajar terdedah dengan aktiviti kesukarelawan, dakwah kepada bukan islam, dan sebagainya.

Mahasiswa juga harus bijak dalam memilih persatuan yang ingin disertai dan perlu diingatkan untuk tidak mengabaikan pelajaran atau akademik sebaliknya mengimbangi kedua-duanya.

6. Tuntut Ilmu

Perkara yang paling penting di universiti adalah menuntut ilmu. Pelajar dinasihatkan untuk merujuk senior untuk mendapatkan buku, nota dan lain-lain.

Merujuk senior adalah satu tindakan yang bijak supaya dapat memberi gambaran awal tentang bidang yang diambil dan subjek-subjek yang akan dipelajari.

Kebanyakan pelajar yang enggan merujuk akan mengalami kesusahan disaat mendaftar subjek yang akan diambil untuk semester tersebut, mengalami kekeliruan dalam memilih subjek dan mengimbangkan antara subjek tahap susah dan senang.

Keperluan merujuk adalah tinggi bagi mahasiswa yang baru menapak di alam universiti.

7. Skema

Peraturan dan budaya universiti juga perlu menjadi perhatian para pelajar. Sepanjang berada di universiti, mahasiswa terikat dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Selain itu, anda juga perlu mendapatkan gambaran awal tentang budaya universiti tersebut dengan bertanya kepada rakan-rakan, para senior atau melawat dahulu kawasan universiti.

Hal ini penting supaya para pelajar tidak mengalami ‘culture shock’ atau kejutan budaya apabila memasuki universiti tersebut.

8. Inspirasi

Sangat penting untuk mengenali tokoh pelajar akademik dan kokurikulum di universiti tersebut supaya dapat meransang para pelajar untuk bersungguh-sungguh dalam mengimbangkan akademik dan kokurikulum.

Motivasi dari orang yang berjaya harus diambil untuk mengekalkan momentum dalam pencarian ilmu dan pengalaman di universiti.

9. Kawal Belanja

Dalam situasi ekonomi sekarang, mahasiswa diingatkan untuk mengambil tahu cara jimat perbelanjaan di universiti. Sebagai contoh, pelajar harus membuat perancangan perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan supaya dapat menjauhi pembaziran dan dapat menguruskan wang dan perbelanjaan sebaik mungkin.

10. Sahsiah Diri

Sahsiah pelajar juga harus dititikberatkan. Pelajar perlu mempersiapkan diri dengan akhlak dan tingkah laku yang mulia sebelum menjejakkan kaki ke menara gading.

Akhlak mahasiswa penentu kepada kegemilangan tamadun satu-satu bangsa kerana andalah bakal pewaris tampuk pimpinan negara. Masa depan negara berada ditangan anda!

Jauhilah rakan-rakan yang mencuba mempengaruhi anda ke lembah negatif sebaliknya banyakkan membina jaringan persahabatan dengan rakan mahasiswa yang baik dan berakhlak mulia supaya pelajar terdorong untuk melakukan kebaikan.

Menjadi mahasiswa yang unggul dan banyak berkhidmat untuk masyarakat juga perlu menjadi azam dan tekad dalam diri setiap mahasiswa.

Menjadi mahasiswa yang unggul yang memiliki pemikiran kelas pertama harus menjadi cita-cita setiap jiwa mahasiswa dan mahasiswi.

Menjauhi gejala “minda bawah tempurung”, berjiwa besar dalam menempuh segala cabaran dan rintangan semasa menuntut ilmu dan berusaha semampu mungkin untuk berkhidmat untuk masyarakat di luar. Tiada gunanya menjadi mahasiswa yang bijak, tetapi tidak mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Masyarakat sangat mengharapkan mahasiswa untuk melakukan perubahan dan membawa gelombang baru kepada ummah. Ketika di universiti, mahasiswa perlu aktif melakukan kerja khidmat masyarakat melalui program-program yang dianjurkan oleh persatuan di universiti-universiti masing-masing.

Tahniah diucapkan kerana berjaya menempatkan diri di universiti seluruh Malaysia. Pelbagai dugaan dan cabaran akan ditempuhi nanti. Hadapilah dengan hati dan jiwa yang besar!

Sumber: vocket.com

No comments

Powered by Blogger.