Watak Maria Mahu Hidup Semula Dalam Filem Munafik 2


Lakonan mantap yang ditonjolkan Nabila Huda dalam filem "Munafik" menjadikan pengarahnya berfikir untuk menghidupkan semula watak Maria dalam sekuelnya.

Syamsul Yusof berkata ramai penonton filem itu menggemari watak dilakonkan Nabila terutamanya ketika dirasuk yang membuatkan mereka tidak senang duduk di pawagam.

"Saya tahu ramai yang meminati 'Munafik' suka dengan watak Maria. Ikut perancangan asal saya, Maria dah tak ada, dah mati.

"Tetapi mungkin kita boleh kembangkan lagi watak Maria. Dalam bahagian dua mungkin dia lumpuh. Cerita boleh direka.

"Mungkin ada imbas semula yang Maria sempat diselamatkan. Boleh juga. Tengok macam mana nanti, "katanya ketika ditemui ProjekMMO selepas Anugerah Bintang Popular 29 pada Ahad.

"Munafik" filem yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia, RM19 juta menyaksikan Maria terbunuh selepas jatuh daripada tingkat satu banglo usang.

Syamsul, 31, berkata "Munafik 2" akan bermula dengan latar masa dua tahun selepas filem pertama dan ia mungkin memberi tumpuan kepada watak Ustaz Adam.

Katanya, Ustaz Adam lakonannya sendiri kali ini akan menerima ujian lebih berat berbanding apa yang dipaparkan bahagian pertama.

"Kali ini saya berpandukan al-Quran (surah al-Ankabut, ayat 2) 'adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan,' kami sudah beriman 'dan mereka tidak diuji.'

"Bahagian kedua saya akan buat Ustaz Adam ini yang kena gangguan sebab bahagian pertama Maria. Bila kena dekat diri dia macam mana pula?

"Sejauh mana dia nak berpegang pada Islam dan bertahan dengan kesakitan yang ditanggung. Saya ada ambil juga kisah Nabi Ayub jadi inspirasi saya, "katanya.

"Munafik 2" akan menjalani penggambaran selepas Aidilfitri ini dan mungkin mengundang pelakon Indonesia untuk mendapat kelebihan tayangan di sana.

Selain Maria, filem itu dilakonkan sendiri Syamsul, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali dan A Galak.

Filem arahan anaknya Syamsul Yusof itu berjaya menewaskan kutipan Boboi Boy: The Movie (RM17.48 juta), Polis Evo (RM17.47 juta) dan The Journey (RM17.17 juta).

Munafik mengubati kekecewaan Syamsul selepas filem KL Gangster 2 arahannya bocor di internet sebelum hari tayangan.

No comments

Powered by Blogger.