Skuad Terbaru Harimau Malaysia Menentang Myanmar dan Timor Leste
Rombakan besar dalam skuad bola sepak kebangsaan - itu dapat digambarkan apabila Datuk Ong Kim Swee mengumumkan senarai pemain pilihannya yang akan menyerai kem latihan selepas ini.
Berdasarkan pengumuman hari ini Kim Swee menyenaraikan 11 muka baru dan menganggap sekarang adalah masa peralihan pelbagai aspek.
Kata jurulatih kelahiran Melaka itu, apa yang dilakukan adalah proses peralihan daripada aspek kekuatan pasukan serta peringkat umur.
Namun ia bukanlah perubahan total. Nampaknya Kim Swee masih mempercayai ramuan menggabungkan pemain berpengalaman dan muka baru bagi membentuk Harimau Malaysia lebih mantap menjelang perlawanan persahabatan bertemu Myanmar 28 Mei nanti.
Pemain senior seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim, Fadhli Shas, Aidil Zafuan dan S Kunalan antara pemain yang dikekalkan, manakala muka baru melibatkan S Kumaahran, Ahmad Hazwan Bakri Abdul Latif Suhaimi, Khair Muhammad Jefri Jones dan Putera Nadher Amarhan Maderner.
Peluang buktikan sesuatu
Skuad pilihan Kim Swee itu juga akan berjuang membawa maruah negara untuk dua perlawanan play-off pertama kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Timor Leste pada 2 dan 6 Jun depan.
"Peralihan ini kita dapat lihat dengan adanya pemain seperti Kumaahran yang sebelum ini beraksi bersama Harimau Muda.
"Kita tahu dia seorang penyerang dan beraksi secara kompetitif dengan pasukan Pulau Pinang. Saya percaya jika diberi peluang di barisan penyerang akan membuktikan sesuatu," katanya pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.
Mengulas keupayaan pemain berusia 35 tahun - iaitu Amri - Kim Swee berkata, beliau yakin penyerang JDT itu masih mampu memberi satu persembahan memuaskan di peringkat antarabangsa.
"Walaupun Amri seperti on-off (tidak konsisten) tetapi jika beraksi dengan lebih kerap, berdasarkan aksi di peringkat antarabangsa sebelum ini dia memberi impak berlainan.
"Saya percaya kali ini dengan 25 pemain yang dipanggil Harimau Malaysia adalah pasukan lebih seimbang bukan sahaja dari segi kekuatan tetapi dari segi umur.
"Peralihan akan berlaku sedikit demi sedikit mulai sekarang dan saya yakin banyak lagi akan berlaku. Kita perlukan pemain yang lebih muda untuk disenaraikan selepas ini," jelasnya.
Sementara itu, Harimau Malaysia turut mengetepikan 10 pemain yang beraksi ketika bertemu Arab Saudi dan Macau sebelum ini.
Antaranya Wan Zack Haikal Wan Noor, Joseph Kalang Tie, Norshahrul Idlan Talaha, Hafiz Kamal dan Nazrin Nawi.
Post a Comment