Ranking Bolasepak Malaysia Menjunam Ke-174 Dunia
KUALA LUMPUR: Ranking bola sepak Malaysia menjunam ke tahap terburuk selepas jatuh lapan anak tangga apabila menghuni kedudukan ke-174 dunia berbanding 166 bulan lalu.
Sebelum ini, pencapaian terburuk Harimau Malaysia adalah pada kedudukan ke-171 dunia yang dicatatkan pada Januari dan Februari lalu.
Kedudukan ranking dunia terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ini juga menyaksikan Malaysia hanya muncul pasukan keenam terbaik Asia Tenggara di belakang Filipina (116), Thailand (119), Vietnam (144), Singapura (148), Myanmar (166) diikuti Timor Leste (175), Kemboja (182), Laos (182), Indonesia (185), Brunei (195).
Bagaimanapun, daripada senarai itu, hanya tiga negara mampu melonjakkan kedudukan bermula dengan Filipina yang naik 19 anak tangga, Vietnam (2) dan Kemboja (1) manakala selebihnya mencatatkan penurunan.
Myanmar muncul negara paling terjejas apabila jatuh 12 anak tangga diikuti Brunei (11).
Naib juara Piala Dunia 2014, Argentina memintas Belgium untuk menghuni ranking pertama.
Iran pula mengetuai negara lain dalam saingan peringkat Asia di tempat ke 42 dunia, diikuti Australia (50), Korea Selatan (56), Jepun (57) dan Arab Saudi (60). - Agensi
Post a Comment