Apa Beza STPM, Asasi, Diploma dan Matrikulasi?

Apa Beza STPM, Asasi, Diploma dan Matrikulasi?|SETELAH beberapa minggu berlalu, semua pelajar lepasan SPM yang berjaya sedang berkira-kira dan memikirkan hala tuju seterusnya dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Adakah anda ingin sambung pengajian dalam Diploma, Matrikulasi, STPM ataupun Asasi? Jom teruskan membaca untuk ketahui perbezaan diantara STPM, Asasi, Diploma dan Matrikulasi!

Baca juga:
Kebaikan dan Keburukan Masuk Matrikulasi

Apa Beza STPM, Asasi, Diploma dan Matrikulasi?

Apa Beza STPM, Asasi, Diploma dan Matrikulasi?

1-Tingkatan 6

Lepasan SPM yang layak dan cukup syarat ke Tingkatan 6 (lulus SPM dengan mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam Bahasa Melayu dan memenuhi syarat khas yang lain) akan ditawarkan secara automatik. Kepada mereka yang tidak mendapat tawaran, pelajar boleh membuat rayuan kemasukan dalam tempoh rayuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jurusan yang ditawarkan adalah Jurusan Sains dan Jurusan Kemanusiaan.

Tingkatan 6 sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan, di antaranya adalah ianya diiktiraf bagi kemasukan kebanyakan universiti di serata dunia. Dengan sijil STPM pun sudah boleh bekerja dengan kerajaan mahupun swasta.

Kiraan pointer STPM berdasarkan campur kesemua pointer subjek diambil bahagi dengan 4 sahaja. Kalau dapat 3.00 ke atas sudah dikira “okay”.

2-Asasi IPTA

Program Asasi pula dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.

Pusat Asasi UiTM ataupun Centre of Foundation Studies (UiTM Pusat Asasi telah ditubuhkan pada November 2009 dengan tujuan untuk menyediakan pelajar untuk mengikuti program ijazah di UiTM dan Institusi awam yang lain Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Program predegree akademik yang ditawarkan ialah: Asasi Undang-undang (LAW), Asasi Kejuruteraan (Kejuruteraan), Asasi TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Asasi Sains (Sains).

Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains.

Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.

Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka.

Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

3-Diploma IPTA

Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu.

Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.

Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

4-Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi KPM terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT) dan mempunyai 4 jurusan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Perakaunan dan Teknikal. Jurusan Teknikal baru diperkenal pada tahun 2009. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka kerana hanya dibahagikan kepada empat jurusan umum ini.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah cuma RM 220 untuk jurusan Sains dan Teknikal dan RM 212 untuk jurusan Perakaunan. Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa belajar di kolej matrikulasi, para pelajarnya akan menerima elaun sebanyak RM 1,250 satu semester.

Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah. Mereka yang mempunyai keputusan cemerlang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki program pengajian yang diminati. Mereka yang sederhana pula ada kemungkinan akan mendapat program pengajian yang tidak diminati atau biasa disebut ‘dilelong’.

Semoga anda bijak membuat pilihan terbaik untuk masa depan anda!

No comments

Powered by Blogger.